
“Aku tahu aku silap, ingat Dia hanya saat aku susah…”
“Saat aku senang, hanya sedikit aku peruntukkan masaku buat Dia, padahal kerana sayang dan kasihNyalah aku senang begitu…”
“Aku tahu, dan aku belajar…namun aku masih lalai lagi…”
“Tika ada yang menegur, aku memilih untuk membutakan hati walau aku tahu apa yang bakal aku terima di sana…”
“Kuatnya amarah aku…lemahnya iman aku…”
Situasi  begini kerap kali berlaku dalam hidup kita. Kita mahu berubah, namun  kita kalah juga pada saat akhir. Walau habuan cukup dekat dengan hati  kita, kita tidak berupaya jua untuk meraih kemenangan tersebut.
Kita  selalu begini, lebih suka mengingati hanya tika duka dan alpa tika  gembira. Tika kita sakit, dan ditimpa segala pilu, kita memilih untuk  mengingatiNya setiap masa yang kita ada. Tika kesenangan hadir, bukan  kita melupakan Dia, namun, ingatan kita padaNya terasa berkurang  berbanding dengan tika susah. Sebenarnya, kita salah seorang yang  bertopengkan muka baik, namun bukan pada hati.Astaghafirullah...
Kadang-kadang,  kita berusaha untuk mengawal perasaan itu yang cukup untuk membuktikan  kita tahu erti syukur sebagai seorang hamba, namun kita masih tewas  dengan emosi sendiri. Oh Tuhan, bukan itu niat sebenar kami padaMu,  namun jika hal sekecil itu tak dapat kami buktikan padaMu, mohon ampunan dariMU Tuhan.
Emosi cukup susah untuk  menandingi kuasanya aqal, jika iman tak pernah dikukuhkan. Insan  dilahirkan penuh dengan sifat positif, namun tika hati terpikat dan  terikat rapat pada dunia, habislah hati. Rosaklah jiwa, hancurlah jasad  saat bertemu pengawalnya neraka. Tangis yang ada, tak akan mengalir lagi  kala itu, kerana kesakitan yang ditanggung tak mampu lagi ditahan  jasad, saat itu jasad hanya mampu menerima tanpa keluhan kerana keluhan  itu cukup pedih untuk diluahkan.
Bagaimana nak tangani sikap tidak istiqamah di atas?
1.   Hadirkan rasa bersalah dalam diri dan iringi dengan taubat yang sebenar-benar taubat.
2.   Berfikir tentang hakikat hidup seorang hamba.
3.   Muhasabah diri tentang akibat yang bakal diterima sama ada di dunia jua akhirat sana.
4.   Selami hidup qudwah hasanah (Muhammad SAW).
5.   Amalkan segala ilmu yang ada, bukan hanya disimpan membuta sehingga dijemput menghadap Dia.
Tiada ayat yang lebih indah melainkan potongan ayat dari Al-Quran…
“Dan  apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera bertaubat  kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya;  kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu ni’mat (sebagai kurnia)  daripadaNya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu  kepada Allah sebelum itu,…” (Az-Zumar : 8)
“...Ia Maha mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.” (Az-Zumar: 7)
