Fikrah yang jelas bakal membentuk jatidiri mahasiswa - Presiden PMRAM

Sumber : www.pmram.org

MANSURAH 18 Oktober - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM merupakan sebuah gerakan mahasiswa yang menjalankan aktiviti dan program berdasarkan garis panduan syarak.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli PMRAM sama ada di Kaherah mahupun di setiap cawangan untuk bersama-sama membantu agenda pembawakan PMRAM pada sesi ini.

Beliau menyatakan bahawa, fikrah yang jelas bakal membentuk jatidiri dan integriti sebagai seorang mahasiswa Islam. Sebab itulah antara fokus pembawakan PMRAM pada sesi ini adalah "Mengembalikan Identiti Akhlak Islamiyah".

Katanya, sikap menjaga hak dan maruah sebagai seorang mahasiswa Islam merupakan identiti akhlak islamiyah yang perlu dikembalikan dalam jiwa umat islam. Mahasiswa Islam bukanlah orang yang mudah dipermainkan dan diperbodohkan.

"Islam mengajar kita untuk menjaga hak dan maruah. Orang yang membiarkan hak dan maruahnya dicabuli adalah orang yang dayus. Mereka ini dikeji oleh syarak. Sebab itulah PMRAM serius membentuk fikrah yang sebenar dalam jiwa mahasiswa Islam". Ujar beliau ketika menyampaikan amanat emas.

Seramai hampir 70 mahasiswa dan mahasiswi yang hadir ketika ramah mesra bersama Badan Pengurus dan HEWI PMRAM di Dewan Zajlatul Abidah, Mansurah.

Justeru, tambahnya PMRAM mempunyai wawasan yang panjang dan jauh. Bukan hanya sekadar di Mesir sahaja bahkan kesinambungan PMRAM di Malaysia adalah Islam.

Ini, katanya kerana agenda pembawakan PMRAM adalah bagi mencari redho Allah SWT.

"Segala aktiviti dan program yang PMRAM anjurkan adalah bagi menampakkan wajah Islam yang sebenar. Justeru, kita akan memahami kehendak syarak dengan kita melibatkan diri pada aktiviti persatuan" tegas beliau dalam ucapan penutup.

Ramah mesra yang diadakan di Mansurah itu berakhir pada jam 3.50 petang.