Dalam menghayati gaya hidup Islam, kita perlu kembali kepada proses awal Tarbiah Islamiah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW di bawah petunjuk Allah Ta'ala. Proses tarbiah ini perlu diikuti dalam membentuk sesebuah Ummah Islamiah. Asas bagi membentuk ummah ialah dengan pembinaan keluarga, maka permulaan untuk merealisasikan matlamat tersebut ialah dengan memperbaiki wanita.
Wanita disebut sebagai pendidik yang pertama dalam memainkan peranan untuk mendidik sesuatu generasi. Wanita yang mana tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya mampu menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan bahawa :
“Wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang.”
Sebagai pendidik, setiap wanita Islam perlu melalui proses Tarbiah Islamiah dan jika tidak terlaksana proses ini maka malanglah generasi Islam kerana mendapat didikan dari wanita-wanita yang tidak mempunyai persiapan Islam yang sempurna.
TUGAS WANITA ISLAM DALAM PEMBENTUKAN UMMAH
Sekiranya seorang wanita Islam ingin mengetahui tentang kedudukannya di dalam Islam, maka dia perlu mengetahui tanggungjawabnya di dalam kehidupan yang telah diciptakan oleh Allah SWT, dan dia perlulah berusaha untuk memperlengkapkan dirinya dengan beberapa perkara asas :
>>Memperlengkapkan diri dengan thaqafah
Adalah wajib bagi seseorang wanita Islam untuk memperlengkapkan dirinya dengan dua jenis thaqafah iaitu :
I. Thaqafah Syar’iah
Iaitu yang berkaitan dengan hukum-hukum syara' terutama yang menyentuh fardhu 'ain yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang bergelar wanita Islam.
II. Thaqafah Mu’asoroh
Iaitu yang berkaitan dengan pengetahuan semasa mengikut realiti yang berlaku dari semasa ke semasa di negara kita dan juga di luar.
>>Memperlengkapkan diri dengan akhlak yang mulia agar menjadi seorang yang bersyakhsiah tinggi dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk diri, keluarga, masyarakat demi mencapai keredhaan Allah SWT.
TANGGUNGJAWAB UTAMA MUSLIMAH
>>Tanggungjawab terhadap addeen (agama Islam)
Maksud tanggungjawab terhadap deen ialah :
(1)Wanita Islam hendaklah beriman dengan Allah SWT dengan sepenuh keimanan sehingga sampai ke peringkat yakin, yang mana keyakinan tersebut dapat mengambil tempat di dalam jiwa mereka serta menjadi panduan rohani bagi mengatur fikiran dan amalannya.
Keyakinan yang dimaksudkan di sini ialah keyakinan yang membawa seseorang hamba merasai setiap urusan di dalam kehidupannya mempunyai hubungan dengan Allah SWT. Begitu juga keyakinannya terhadap hari akhirat. Dia mesti merasakan bahawa itulah matlamat akhir bagi kehidupannya sebagai seorang muslimah. Justeru itu, aspek kerohanian seorang wanita itu mestilah diproses dengan acuan tarbiyah yang betul supaya ia benar-benar berfungsi untuk menerima hakikat kepercayaan pada hari akhirat. Ada pepatah Arab yang bermaksud :
"Tidak ada kampung selepas mati ini untuk seseorang itu tinggal di dalamnya melainkan apa yang dibina dengan amalan-amalan-nya."
(2)Seorang wanita Islam mestilah meneliti perintah Allah SWT dengan penelitian yang jitu dari segi suruhan mahupun tegahanNya. Tetapi di dalam kehidupan masyarakat hari ini, adakah mereka benar-benar meneliti segala suruhan dan tegahan Allah S.W.T?? Sekiranya mereka meneliti dengan penelitian Islam tentulah tidak wujud kehidupan jahiliah yang bertebaran di mana-mana sahaja dewasa ini. Penelitian yang bersungguh-sungguh memerlukan suatu kefahaman dan kesedaran yang betul di dalam jiwa umat Islam. Jika tidak wujud kesedaran dan kefahaman yang betul, bagaimana umat Islam hendak mengenal perbezaan antara jahiliah dan Islam. Maka, akan wujudlah kehidupan yang mencampur adukkan antara Islam dan jahiliah. Pada hari ini, kita menerima Islam melalui adat dan warisan. Kita tidak menerima Islam melalui kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang betul. Tetapi kita seharusnya menerima Islam menerusi keyakinan kepada Allah SWT dan junjungan Muhammad SAW yang membawa agama ini.
Segala jenis ilmu yang digariskan di dalam Islam mestilah diketahui oleh para wanita, kerana bukan lelaki sahaja yang perlu melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut, malahan wanita merupakan sebahagian daripada pengeraknya. Setiap wanita yang hendak melaksanakan Islam, dirinya akan diukur dengan kemampuan ilmu yang ada pada dirinya. Sebagai contoh Saidatina Aisyah RA, beliau mengetahui satu persatu tentang realiti dan syara'. Apabila para sahabat bertanyakan kepadanya tentang hukum, beliau mampu memberikan fatwa. Sekiranya beliau hanya mengetahui syara’ sahaja tanpa realiti, fatwa yang dikeluarkannya tidak betul. Oleh itu amatlah perlu bagi seorang wanita Islam membaca suratkhabar, majalah islamik dan bahan bacaan yang seumpama dengannya. Semua ini sangat berguna dan berfaedah. la dipanggil thaqafah istibanah.
Thaqafah Istibanah terbahagi kepada dua bahagian iaitu SYARA' dan REALITI. Membaca merupakan ilmu untuk mengetahui tentang realiti. Kalau realiti tidak diketahui maka sukar untuk menghukum. Misalnya Asma binti Abu Bakar, beliau seorang yang faham tentang realiti. Manakala, Fatimah binti al-Khattab, seorang yang aktif dalam kegiatan Islam. Beliau bukan sahaja faham secara terperinci berkaitan realiti, malah siasah harakah yang baru diwujudkan oleh Rasulullah SAW juga difahaminya. Jika hendak dibandingkan dengan wanita hari ini dari segi kefahamannya, ternyata jauh bezanya.
>>Tanggungjawab terhadap rumahtangga dan keluarga.
Hendaklah rumahtangga itu diasaskan di atas dasar taqwa kepada Allah SWT sejak hari pertama lagi diwujudkan rumahtangga tersebut ataupun dalam usaha untuk mewujudkannya. Tidak boleh diwujudkan rumahtangga berasaskan adat, nafsu ataupun nilai-nilai masyarakat.
Tetapi hari ini adakah kita seumpama itu?? Hari ini ternyata rumahtangga itu ditegakkan di atas asas lain. Di atas asas keinginan untuk berumahtangga misalnya, bukan atas asas taqwa kepada Allah SWT. Rumahtangga seseorang Muslim hendakah dipenuhi dengan roh yang diredhai oleh Allah SWT. Hendaklah segala tindakan dan tuntutan sesebuah rumahtangga itu berada dalam batas syar’iah. Mestilah seimbang, tidak lebih dan tidak pula kurang. Pertimbangkan dengan cara yang cukup sederhana.
"Sebaik-baik urusan ialah kesederhanaan."
Saidina Osman misalnya, kudanya lebih baik dan lebih cantik daripada kuda Rasulullah SAW, rumahnya lebih baik dan lebih cantik, begitu juga hamparannya. Ini kerana kemampuan yang ada padanya, beliau mempergunakan nikmat Allah SWT berdasarkan kepada keimanan bukan berdasarkan hawa nafsu. Sekiranya kita melaksanakannya berdasarkan hawa nafsu, akan lahirlah sifat seperti menunjuk-nunjuk. Tetapi berbeza pula jika ia berdasarkan keimanan, sesuatu yang dilakukannya itu di dalam rangka mensyukuri nikmat Allah SWT.
>>Tanggungjawab terhadap masyarakat.
Sekiranya seorang wanita Islam itu tidak ada perhubungan dengan masyarakat atau berpisah daripada masyarakat, maka akan lahirlah masyarakat yang tidak mempunyai unsur-unsur Islam. Oleh itu, dalam hal ini kita mesti bersama-sama dengan masyarakat dalam melahirkan tindakan berpandukan ajaran Islam agar masyarakat itu lahir dengan amalan Islam. Justeru itu, kita perlu berjuang bersungguh-sungguh dalam menegakkan kebenaran Allah SWT dan tidak takut kepada ugutan dan gangguan dalam menegakkan kebenaran agama Allah SWT.
Bagi mereka yang mengaku hendak melakukan kebaikan kepada manusia, maka akan terbentang di hadapan mereka pelbagai bentuk ujian dan cabaran. Sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan, kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut:2-3)
Dalam memahami fikrah yang sebenar untuk menyampaikan Islam kepada orang lain, dan di samping bertindak melaksanakannya wanita itu mestilah bergiat di dalam gerakan Islam dengan bersungguh-sungguh, yang memerlukan perjuangan dan pengorbanan wanita yang sangat besar.
Walaupun begitu, wanita yang tidak ada thaqafah islamiah sangat ramai bilangannya. Hal ini amat memerlukan tenaga yang besar dari mereka yang sedar akan kepentingannya bagi menyampaikan ilmu yang betul dan tidak takut serta tidak gentar kepada ugutan, pandangan dan tindakan negatif orang lain. Hati yang dididik oleh iman, tidak takut dengan kekejaman manusia, tidak gelisah dengan sindiran manusia bahkan merasa cukup Allah SWT sebagai tempat mengadunya.
Lihatlah bagaimana hubungan terus dengan Allah SWT yang tercerna dalam diri para sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW dan lihatlah bagaimana tekad bulatnya penyerahan diri Zainab Al-Ghazali kepada Allah SWT, yang tidak putus hubungannya dengan Allah SWT, walaupun beliau di dalam keadaan genting sekali pun. Beliau meletakkan keyakinan bahawa Allah akan menolong mereka yang memperjuangkan ajaranNya, sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa dan Maha Berkuasa.
Oleh itu, setiap daripada kita yang bergelar wanita Islam hendaklah memperbaiki diri dengan mendidik hati sanubari kita yang mana ia menjadi perkara asas untuk memperbaiki keluarga serta masyarakat dengan Fikrah Islam.
"Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah ke atas kami ketenangan, dan tetapkanlah pendirian kami bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati kami dengan mengingati Mu, dan kurniakanlah akan kami keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai."
Risalah أيتها الفتيات (Bil : 2)
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011
Di sana terdapat segolongan manusia yang berbeza daripada rakan-rakannya yang lain, tertonjol di dalam masyarakatnya, apabila ia bercakap semua yang ada diam mendengar, apabila mereka dilanda masalah mereka mencarinya, menunggu pendapat dan berpegang dengan pandangannya. Apabila dia tidak muncul mereka terasa kehilangannya. Golongan ini merupakan golongan pemikir, mereka mempunyai perwatakkan yang tersendiri. Mereka berfikir sebelum bercakap. Apabila berhadapan dengan sesuatu masalah, mereka akan mengkaji dan menelitinya daripada pelbagai sudut serta menggunakan pengalaman yang luas untuk mendapat natijah yang sahih dan tidak terkeluar daripada landasan yang betul.
Islam sebagai satu agama yang agung, dengannya kita menjadi mulia, membina umatnya, samada lelaki ataupun perempuan di atas asas syakhsiah yang bebas dan berbeza daripada orang lain. Islam juga menolak sifat taklid, terikut-ikut dan tidak tetap pendirian. Oleh itu, ia mencela golongan musyrikin yang tidak mempunyai pendapat tersendiri terhadap sesuatu perkara. Pendapat dan fahaman mereka semata-mata mengikut apa yang ditinggalkan oleh bapa-bapa mereka walaupun bapa-bapa mereka tidak berakal dan tidak mendapat petunjuk. Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Janganlah salah seorang daripada kamu tidak tetap pendirian, dia berkata aku bersama orang ramai, sekiranya mereka baik maka baiklah aku, sekiranya mereka buruk maka buruklah aku, dan tetapi kuatkanlah diri kamu, sekiranya orang ramai baik maka baiklah kamu, sekiranya mereka buruk maka kamu jauhilah keburukan mereka. "
Seseorang yang tidak tetap pendirian ialah orang yang bertindak tanpa berfikir dan tanpa keyakinan seolah-olah dia merupakan seorang di dalam kelompok yang tidak langsung memiliki dirinya. Ia berkelakuan dan bertindak mengikut keadaan orang ramai dan keadaan sekeliling, tanpa berusaha untuk berfikir ataupun bertanggungjawab terhadap keputusannya samada benar ataupun salah. Orang seperti ini tidak mampu untuk memikul tanggujawab dan bersama-sama didalam pembangunan, ataupun memainkan peranan di dalam perjuangan yang sebenar. Orang-orang seperti ini mungkin diterima oleh mereka yang hidup di atas perkara-perkara yang remeh–temeh, ataupun mereka yang hidup tanpa tujuan dan matlamat. Tetapi mereka yang terbentuk dengan pembentukan Islam samada lelaki ataupun wanita tidak sekali-kali menerima perwatakkan seperti ini.
Di dalam perjalanan umat Islam dan sejarahnya yang panjang, telah muncul beberapa wanita yang unggul, mempunyai perwatakkan yang tersendiri, seolah-olah ia merupakan bintang yang berkilauan di puncak sejarah. Ini adalah kerana ia dididik di madrasah tauhid, hidup di kalangan orang-orang yang beriman dengan sifat kepimpinan yang ada padanya. Ia mempunyai akhlak tinggi dan mulia yang sentiasa menjaga supaya ia melaksanakan peranannya di dalam pembinaan ummah.
Wanita-wanita Islam pada zaman dahulu, mereka telah menjelaskan pendapat dengan penuh tegas dan berani apabila di dalamnya terdapat kebaikan untuk masyarakat dan ummah ataupun untuk kepentingan kaum sejenisnya. Siapakah di antara kita yang tidak mengingati gadis berani yang datang berjumpa dengan Rasullullah s.a.w. memberitahu bahawa beliau menolak daripada berkahwin dengan anak bapa saudaranya kerana paksaan bapanya. Beliau kemudian kembali dan menerima anak bapa saudaranya sebagai suami selepas menguatkan konsep, tiada paksaan ke atas gadis di dalam masalah perkahwinan. Sehingga para bapa mengetahui bahawa mereka tidak berhak di dalam apa-apa urusan anak-anak perempuan mereka". Iaitu para bapa tidak berkuasa ataupun harus untuk memaksa anak-anak perempuan mereka berkahwin dengan orang-orang yang tidak mereka sukai.
Begitu juga dengan wanita masyhur, utusan para wanita yang datang berjumpa dengan Rasullullah s.a.w meminta supaya para wanita dibenarkan berjihad selepas orang lelaki beroleh kejayaan dengan berjihad, bersolat Jumaat, menghadiri sembahyang berjemaah . Maka Rasullullah s.a.w. bersabda kepadanya dengan maksud:
"Layanan wanita yang baik terhadap suaminya manyamai semua itu. "
Ini bermaksud bahawa tanggungjawab yang dilaksanakan terhadap rumah dan suaminya mendapat ganjaran pahala yang sama dengan pahala yang diperolehi oleh lelaki. Kemudian inilah wanita yang berjumpa dengan Saidina Umar bin Al-Khattab di jalan dan berkata kepadanya:
"Sesungguhnya kamu adalah Umair suatu ketika dahulu ketika kamu bersama kami, kemudian kamu menjadi Umar dan kemudian kamu menjadi Amirul Mukminin; takutlah kepada Allah wahai Umar; "
Begitu juga wanita yang menentang pendapat Saidina Umar di masjid sewaktu Umar menegah mahar perkahwinan yang tinggi dengan berkata:
"Kamu tidak berhak padanya wahai Umar."
Inilah sebahagian daripada tokoh-tokoh yang menonjol di dalam masyarakat Islam yang pertama. Buku-buku sejarah tidak menyebut nama-nama kebanyakkan mereka kerana contoh-contoh seperti ini adalah terlalu banyak dan biasa pada zaman mereka. Sejarah masih lagi menyimpan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku ke atas wanita Islam sepanjang sejarahnya yang memanjang selama lebih daripada empat belas kurun. Sesungguhnya wanita-wanita Islam ini mencari kebenaran, menuntut hakikat dan beriltizam dengan perkara yang betul. Selain daripada itu mereka juga berkorban, bahkan menemui kematian untuk menegak dan mempertahankan kebenaran. Dan ini semua dengan kehendak Allah akan terus berkekalan.
Sesungguhnya wanita-wanita Islam dituntut memberi perhatian kepada pemikiran dan pengetahuan agama serta beriltizam dengan tuntutan syara’ melebihi perhatian yang diberikan terhadap pakaian yang merupakan gambaran lahiriah dan membelanjakan untuk benda-benda yang tidak mendatangkan banyak faedah. Dia perlu memberi perhatian terhadap akhlak dan adab yang baik, perkataan yang manis dan suka kebaikan untuk manusia. Ia menyemai di dalam jiwanya ketinggian maruah dan kehormatan, menjauhi perkara yang remeh -temeh, menghindari perkara–perkara maksiat, jauh daripada perkara yang boleh membawa kepada perpecahan dan tidak memberi faedah, tidak mengaibkan orang lain, berbaik sangka dengan orang ramai, menunaikan tanggunjawab kemasyarakatan, membantu orang-orang yang teraniya dan berhajat serta membantu orang yang dizalimi.
Oleh itu, fenomena menonjolkan keindahan sederhana yang menimbulkan ketenangan di dalam jiwa serta menyebarkan kecantikan ataupun keindahan terlalu tinggi yang ada di dalam masyarakat merupakan salah satu gambaran daripada gambaran-gambaran masyarakat Islam yang tinggi. Wanita sentiasa suka kelihatan cantik dan kecantikan hati, ruh, akal, tindak tanduk dan kebijaksanaan merupakan kecantikan yang kekal dan berterusan. Justeru, perkara ini perlu mendapat tempat teratas di dalam senarai perkara-perkara penting yang perlu dilaksanakan dan didahulukan.
Sementara itu, gambaran zahir perlulah kelihatan sederhana yang melambangkan maruah dan istiqamah. Jadi tidak layak untuk wanita Islam menggunakan model ataupun fesyen yang datang daripada barat yang sesat. Wanita Islam perlu mencari sesuatu yang sesuai dengan akidah dan masyarakat yang berada di sekelilingnya. Selain daripada itu, dia juga perlu mendidik diri dan ahli keluarganya supaya mempunyai keperibadian yang unggul dan bebas daripada sebarang pengaruh, beristiqamah, menolak sikap suka mengikut dan tidak hanyut di bawa arus. Apabila wanita Islam menyedari perkara ini, maka suatu perubahan masyarakat kita akan menuju ke arah kemajuan selangkah demi selangkah.
Unit Dakwah & Pembangunan Insan
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011
P persada dunia namamu disebut
E erti sebuah keunggulan
R rukun damai kau pasakkan
S selari kehendak syariat Islam
E engkau jatuh dan bangun tetap berdikari
K kalah atau menang terus berdiri
U utuh merentasi abad dan zaman
T tembok perpecahan kau hancurkan
U untuk sebuah kesatunan satu perjuangan
A andai diizin takdir tuhan
N nekadmu terus menjulang Islam
M marilah teman sekalian
E eratkan ukhuwwah dan ikatan
L lestarikan di atas nama kesatuan
A ayuh sama-sama kita lahirkan insan
Y yang tak gentar menerus perjuangan
U untuk kegemilangan Islam terus dijulang
R rentetakan sejarah membuktikan
E engkau berjasa mentadbir pejuangan
P pernah jatuh tersimpuh sendirian
U usiamu telah membuktikan..walau
B berlalu dekat mencecah abad
L lambaian keizzahanmu tetap gah
I izzahmu seiring menjulang tema
K kemantapan fikrah membina syakhsiah
A ayuh teman ayuh rakan
R ribatkan tautan ukhuwwah kita
A andai jamaah ini difitnah
B bai'ah kita usah digoyah
M majulah bersama saff kepimpinan
E eratkan kembali tali perpaduan
S sisihkanlah segala anasir perpecahan
I insya-Allah janji tuhan pasti datang
R raudhatul jannah tempat dijanjikan.
Surau Darul Iman,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu,
Hayyu Asyir 10/4/2010
(Solat Hajat bersempena dengan 80 tahun usia PMRAM)
8.25 malam
Haiyyu Sabik, 9 April - HEWI Majlis Kebajikan Keluarga Kedah dengan julung - julung kalinya telah mengadakan Majlis Himpunan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Unit Hal Ehwal Wanita Islam, Majlis Kebajikan Keluarga Kedah yang juga turut diberi nama MESRA `11. Majlis ini telah menghimpunkan seluruh ahli jawatankuasa unit HEWI MKKK, bermotifkan untuk memberi kefahaman yang jelas tentang pembawakan dasar MKKK itu sendiri serta dapat melahirkan golongan pelapis pada masa akan datang dengan beberapa pengisian yang menjadi hidangan utama mereka pada waktu yang singkat itu bermula dari jam 11.30 pagi sehingga 4.30 petang.
Majlis itu telah dirasmikan oleh Pegawai Majlis Kebajikan Keluarga Kedah iaitu, Encik Syeikh Yusoff Bin Ahmad yang juga dikenali dengan panggilan Abah di Dewan Tasamuh Wal Ikha` Asrama Darul Iman 3. Dua pengisian telah diberikan oleh Saudari Nurliyana Johari selaku Timbalan Lajnah Nuqaba` MKKK dan Saudara Zubair Mohd Shariff selaku Yang Dipertua MKKK yang telah menerangkan mengenai pembawakan MKKK.
HEWI angkat MKKK, iaitu Saudari Siti Fathiyah Mohd Razi yang juga selaku Setiausaha HEWI PMRAM juga turut dijemput untuk memberikan ucapan penutup bagi mengakhiri majlis tersebut. Menurut beliau " Matlamat utama persiapan pemuda islam hari ini ialah untuk melaksanakan matlamat tercapainya 'qawamah' (penguasaan) islam terhadap masyarakat dan dunia. Dan kita yang dipilih oleh Allah seharusnya sentiasa bersiap siaga dalam apa jua bentuk untuk menjadi golongan pelapis akan datang dengan sentiasa menjadikan ketaatan kepada pemimpin dan bersifat produktif sebagai persediaan utama kita "
Kepimpinan HEWI PMRAM pusat sentiasa mendoakan survival MKKK terus gemilang dengan melahirkan golongan pelapis mahasiswi yang lebih ramai untuk masa akan datang.
PADA adatnya tidak mungkin kita sampai pada lapangan makrifat terhadap Allah SWT apabila kita tidak mahu bermujahadah, tidak mahu melihat kelemahan-kelemahan yang terkandung dalam diri kita, lebih-lebih lagi kelemahan itu berupa penyakit hati.
Oleh itu Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang berjuang di jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk mereka itu pada jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang membuat kebaikan.”
“Mujahadah” yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah memerangi hawa nafsu yang mengatasi segala kelemahan diri untuk mencapai dengan sempurna keredaan Allah SWT. Tegasnya, orang-orang yang mengerjakan sesuatu yang tidak baik bererti ia mendatangkan kekurangan pada peribadinya sendiri. Umumnya tabiat manusia tidak menghiraukan keaiban-keaiban tetapi mengutamakan pada hal-hal yang dianggap baik.
Meskipun sifatnya masih fatamorgana bahkan masih belum apa-apa, sama seperti orang sakit tidak mahu melihat penyakitnya untuk diubati tetapi perhatiannya lebih dahulu mengarah kepada hal-hal yang harus dikerjakan apabila ia sihat. Manusia yang sempurna dalam berfikir serta sempurna dalam perasaan akan melihat keaibannya lebih dahulu demi untuk mencapai keutamaan yang dicita-citakan.
Ulama tasawuf pernah berkata: “Hendaklah kamu mencari istiqamah dan jangan kamu mencari karamah, kerana sesungguhnya nafsumu menggugatmu mencari kemuliaan, sedangkan Tuhan-mu menuntut kamu dengan istiqamah. Dan sesungguhnya berada di sisi hak Tuhanmu adalah lebih patut dari beradanya kamu dengan keuntungan diri kamu.”
Allah menghendaki agar kita istiqamah pada jalan-Nya dan apabila kita selalu mematuhi kehendak-Nya maka dengan sendirinya Allah akan memberikan kurniaan pula buat kita iaitu keutamaan-keutamaan yang datang apabila amal yang ikhlas telah kita kerjakan. Oleh itu, kita harus mengutamakan hak Allah daripada mendahulukan keuntungan diri dan nafsu kita. Tahukah kalian, jalan apakah bagi kita untuk mengenal segala keaiban-keaiban diri kita dan dapat pula mengatasi semua itu? Imam Al-Ghazali r.a telah menunjukkan jalannya sebagai berikut:
• Hendaklah seseorang itu berada di bawah pimpinan seorang guru, dia dapat melihat kekurangan-kekurangan dan keaiban-keaiban serta penyakit-penyakit murid yang dipimpinnya. Dengan demikian si guru dapat mengeluarkan hukum-hukum atau jalan-jalan apakah yang harus dijalani oleh murid agar penyakit-penyakitnya sembuh.
• Bergaul dengan teman yang mencintai kita dan berhati benar terhadap kita. Bergaul dengan teman itu ertinya, kita dapat diawasi olehnya mengenai hal keadaan kita dan pekerjaan kita. Andainya kita menyimpang dari landasan yang sebenarnya, maka si teman tidak segan-segan menegur dan menasihati.
• Penyakit-penyakit atau keaiban-keaiban orang lain menjadi pengajaran bagi kita, agar kita tidak mengerjakan penyakit-penyakit yang serupa.
• Hendaklah banyak mengambil faedah dari pergaulan sesama kita. Mana yang baik untuk diikuti, maka kerjakanlah. Dan mana yang buruk hindarkanlah, sebab tabiat kemanusiaan anatara satu dengan lain kadang-kadang saling berdekatan.
Justeru, dalam kita menggali telaga kekurangan dan kelemahan yang terhimpun di dasar diri kita, maka lihatlah akan hikmat yang tersembunyi padanya. Jangan kita mengatakan bahawa Allah Ta'ala itu zalim kerana mengurniakan kelemahan pada hamba-Nya, tetapi renunglah bahawa dengan adanya kelemahan itu menjadikan “taqarrub” kita kepada Khaliq lebih bermakna. Maka sewajarnya kekurangan dan kelebihan yang terkumpul pada diri anak adam iti sisyukuri untuk menzahirkan rasa kehambaan dan kecintaan kepada Pencipta.
~ Menilai diri dengan kacamata seorang hamba..
Haiyyu Sabik, 25 Mac – Muzakarah Berkelompok Majlis Kebajikan Keluarga Kedah MKKK yang juga di kenali dengan nama SOLUSI (Soul and Love Series) siri II berjaya diadakan pada hari Jumaat bersamaan 25 Mac bertempat di Asrama Darul Aman, Haiyyu Sabik yang juga turut dihadiri HEWI angkat BKAN tersebut Saudari Siti Fathiyah Mohd Razi.
Program tersebut bermula seawal jam 7.30 pagi untuk pendaftaran dan seterusnya pengisian yang telah diberikan oleh Ustaz Syazril Hanis Bin Silmi selaku pemangku Timbalan Yang Dipertua MKKK yang bertajuk ‘Pengaruh Akidah Dalam Masyarakat’. Serta turut di selangseli dengan persembahan dari setiap ahli – ahli liqa`.
Sebelum program berakhir, HEWI MKKK sempat menjemput Saudari Siti Fathiyah Mohd Razi selaku HEWI angkat untuk memberi sedikit ucapan atau peringatan kepada ahli yang hadir. “ Kehadiran ahli dalam muzakarah berkelompok haruslah diambil berat untuk melihat keberjayaan sesebuah persatuan. Jika mengharapkan pertemuan bersama Pencipta, kita umat manusia dianjurkan untuk sentiasa membuat amal kebajikan dalam setiap perkara seperti yang Allah telah sebutkan pada penghujung ayat Surah Al-Kahf. Dan mengambil manfaat dari setiap amal kebajikan seperti bantu membantu dalam aktiviti muzakarah berkelompok tersebut” ujar beliau mengakhiri program tersebut.
Kepimpinan HEWI sentiasa mengharapkan kesatuan anak-anak Kedah semakin kukuh untuk masa yang akan datang dengan kehadiran yang memberangsangkan sebagai permulaan dalam program SOLUSI siri II kali ini.
~ Nanti leh la jemput lagi... :)
Bagi anda yang berminat untuk mengembara dan sukakan aktiviti yang mencabar dan lasak, jangan lepaskan peluang untuk menyertai kami dalam satu ekspedisi iaitu Ekspedisi HEWI '11 - Ekspedisi HEWI Menawan Puncak Sinai 2011.
Pendaftaran masih lagi dibuka sehingga 31 Januari 2011 ini. Makluman mengenai bayaran dan tarikh program akan dimaklumkan tidak lama lagi.
Jom bersama kami menghayati sirah-sirah perjuangan golongan terdahulu disamping melakukan pelbagai aktiviti yang seronok dan mencabar. Semuanya bakal anda temui di dalam Ekspedisi HEWI '11.
Pendaftaran boleh dibuat kepada Unit Sambutan dan Rehlah PMRAM Cawangan masing-masing.Mari mendaftar segera.Cepat sebelum terlambat..!!
" Meladeni Sirah Memacu Ummah "
" Kesatuan Ukhuwah Manifestasi Tarbiyah "
Banyak ayat-ayat Allah terbukti di Perang Gaza. Karamah Allah turun untuk membantu orang yang membela agamanya. Itu yang dialami oleh mujahidin Palestin, para syuhada Gaza. berikut data-datanya:
1. Dr. Muawiyah Hassanein, Pengarah Darurat dan Departmen Kesihatan di Gaza menceritakan:
“Syuhada yang meninggal berhari-hari, bahkan berminggu-minggu masih menitiskan darah segar dari tubuhnya. Kami dan semua orang di sini sangat terkejut…”
Subhanallah….
2. Syahid ‘Iyan berkata: “Saya menyaksikan orang yang gugur syahid tersenyum, meskipun keadaan tubuhnya hancur, darahnya masih segar.”3. Beberapa doktor Jordan yang menjadi sukarelawan di Gaza memberi bukti:
Dr Hisam Az Zighah memberi bukti itu di acara Festival Ikatan Doktor Yordan beberapa hari yang lalu. Kepada wartawan Hisam menunjukkan bukti iaitu sebutir peluru, Al-Quran serta buku kumpulan doa-doa, Hishnul Muslim.
Semasa itu datang seorang mujahidin yang cedera di hospital As Syifa’. Doktor-doktor tersebut melakukan pemeriksaan. Doktor itu dikejutkan dengan sebutir peluru yang ditemui di dalam kocek pejuang tersebut.
4. Ada lagi pengakuan Abu Qudamah, salah seorang komandan lapangan Hamas di wilayah Timur Az Zaitun, Kota Gaza:
“Saya dan beberapa mujahidin mengintai kereta kebal Israel. Kami berdoa agar Allah menurunkan tentaraNya dari langit membantu kami. Mendadak turunlah awan tebal menyelimuti kawasan kami. Kami menyelinap di antara puluhan kereta-kereta kebal itu tanpa diketahui oleh musuh. Anehnya tidak terlihat oleh kapal-kapal terbang pengintai yang lalu-lalang di udara. Kami mampu meletupkan tangki kereta-kereta kebal itu, akibatnya 5 orang tentera Israel mati dan berpuluh-puluh yang lain cedera.”
Ketika kapal terbang-kapal terbang Israel membedil bom di salah satu kota Gaza, turunlah hujan lebat di wilayah itu saja. Pesawat-pesawat itu tergendala berjam-jam dan tidak boleh meneruskan pengebomannya..5. Syeikh Abu Bilal di perkemahan Rafah menuturkan:
“Kamu jangan mengira bahawa orang yang gugur di jalan Allah itu mati, mereka bahkan hidup, tapi kamu tidak mengetahui.” Al Baqarah:154.
Beliau menambahkan bahawa “Jasad para syuhada masih segar, kerana roh mereka selayaknya memakan buah di syurga, ini juga yang menyebabkan semerbaknya bau wangi. Darah masih segar, janggut tumbuh. Sebagian syuhada yang dua tahun lamanya, atau berpuluh tahun bahkan beradab-abad tidak rosak jasadnya dan tidak dimakan oleh cacing tanah.”
Wangi semerbak minyak kasturi juga keluar dari jasad perajurit Al Qassam, Muhammad Abu Sya’r. Mereka adalah sebahagian mangsa serangan bom kapal terbang Israel. Bau harum itu tercium oleh orang yang menjumpainya. Khabar kesyahidannya tersebar ke semua pelosok masjid.Para pemuda masjid ramai datang untuk melihat. Mereka bertahmid, bertahlil dan bertakbir mengagungkan Asma Allah atas keajaiban para syuhada.
6. Petugas perubatan menceritakan, kami berangkat untuk menolong orang yang luka-luka di sebelah Utara Gaza, ketika itu tentera Israel menembak sekeliling kaki kami. Kami katakan:
“Kenapa kalian melakukan ini, kami bukan tentara, kami tidak bawa senjata apalagi bom.”
Salah seorang tentara Israel berteriak: “Kalian orang Arab, kalian memakai pakaian putih, kalian malaikat, kalian berperang bersama Hamas.”
7. Ada juga tentara Israel sedang diwawancara oleh media Israel, ia mengatakan ianya kehilangan penglihatan kerana seorang pemuda telah melemparkannya dengan segenggam debu. Pemuda itu berbaju putih. Seketika itu buta.8. Tentara Israel lainnya menceritakan, bahawa mujahidin memberikan perlawanan memancing mereka dalam banyak pertempuran laksana memancing ayam dan itik.
Pengakuan tentara Israel yang lain, ia melihat tentara Israel terluka dan ditembak dari arah kanan dan kiri. Bingung, tidak dijumpai dan tidak diketahui dari mana tembakan itu berasal.
9. Sejumlah wartawan yang melaporkan perang di Gaza menceritakan, kami bersembunyi dari bom. Ketika situasi reda, kami dikejutkan oleh seorang yang keluar dari runtuhan bangunan sambil membawa pelancar roket. Dia hadir, menyerang dan menghilang, seperti ditelan bumi.
Demikian, Allah SWT telah menampakkan ayat-ayatnya, melalui para pejuang yang ikhlas dan taat. Allah pasti selalu memberi perindungan kepada hamba-hambaNya yang membela agamanya. Janji Allah datang bersama kesabaran. Allah tak akan mengingkari janjinya!