Wanita Islam Pembentuk Ummah


Dalam menghayati gaya hidup Islam, kita perlu kembali kepada proses awal Tarbiah Islamiah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW di bawah petunjuk Allah Ta'ala. Proses tarbiah ini perlu diikuti dalam membentuk sesebuah Ummah Islamiah. Asas bagi membentuk ummah ialah dengan pembinaan keluarga, maka permulaan untuk merealisasikan matlamat tersebut ialah dengan memperbaiki wanita.

Wanita disebut sebagai pendidik yang pertama dalam memainkan peranan untuk mendidik sesuatu generasi. Wanita yang mana tangan kanannya menghayun buaian dan tangan kirinya mampu menggegarkan dunia. Sehingga ada pepatah mengatakan bahawa :

“Wanita itu sungguh mempengaruhi hidup manusia di mana seorang ibu itu memerlukan masa 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang.”

Sebagai pendidik, setiap wanita Islam perlu melalui proses Tarbiah Islamiah dan jika tidak terlaksana proses ini maka malanglah generasi Islam kerana mendapat didikan dari wanita-wanita yang tidak mempunyai persiapan Islam yang sempurna.

TUGAS WANITA ISLAM DALAM PEMBENTUKAN UMMAH

Sekiranya seorang wanita Islam ingin mengetahui tentang kedudukannya di dalam Islam, maka dia perlu mengetahui tanggungjawabnya di dalam kehidupan yang telah diciptakan oleh Allah SWT, dan dia perlulah berusaha untuk memperlengkapkan dirinya dengan beberapa perkara asas :

>>Memperlengkapkan diri dengan thaqafah

Adalah wajib bagi seseorang wanita Islam untuk memperlengkapkan dirinya dengan dua jenis thaqafah iaitu :

I. Thaqafah Syar’iah
Iaitu yang berkaitan dengan hukum-hukum syara' terutama yang menyentuh fardhu 'ain yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang bergelar wanita Islam.

II. Thaqafah Mu’asoroh
Iaitu yang berkaitan dengan pengetahuan semasa mengikut realiti yang berlaku dari semasa ke semasa di negara kita dan juga di luar.

>>Memperlengkapkan diri dengan akhlak yang mulia agar menjadi seorang yang bersyakhsiah tinggi dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk diri, keluarga, masyarakat demi mencapai keredhaan Allah SWT.

TANGGUNGJAWAB UTAMA MUSLIMAH

>>Tanggungjawab terhadap addeen (agama Islam)

Maksud tanggungjawab terhadap deen ialah :

(1)Wanita Islam hendaklah beriman dengan Allah SWT dengan sepenuh keimanan sehingga sampai ke peringkat yakin, yang mana keyakinan tersebut dapat mengambil tempat di dalam jiwa mereka serta menjadi panduan rohani bagi mengatur fikiran dan amalannya.

Keyakinan yang dimaksudkan di sini ialah keyakinan yang membawa seseorang hamba merasai setiap urusan di dalam kehidupannya mempunyai hubungan dengan Allah SWT. Begitu juga keyakinannya terhadap hari akhirat. Dia mesti merasakan bahawa itulah matlamat akhir bagi kehidupannya sebagai seorang muslimah. Justeru itu, aspek kerohanian seorang wanita itu mestilah diproses dengan acuan tarbiyah yang betul supaya ia benar-benar berfungsi untuk menerima hakikat kepercayaan pada hari akhirat. Ada pepatah Arab yang bermaksud :

"Tidak ada kampung selepas mati ini untuk seseorang itu tinggal di dalamnya melainkan apa yang dibina dengan amalan-amalan-nya."

(2)Seorang wanita Islam mestilah meneliti perintah Allah SWT dengan penelitian yang jitu dari segi suruhan mahupun tegahanNya. Tetapi di dalam kehidupan masyarakat hari ini, adakah mereka benar-benar meneliti segala suruhan dan tegahan Allah S.W.T?? Sekiranya mereka meneliti dengan penelitian Islam tentulah tidak wujud kehidupan jahiliah yang bertebaran di mana-mana sahaja dewasa ini. Penelitian yang bersungguh-sungguh memerlukan suatu kefahaman dan kesedaran yang betul di dalam jiwa umat Islam. Jika tidak wujud kesedaran dan kefahaman yang betul, bagaimana umat Islam hendak mengenal perbezaan antara jahiliah dan Islam. Maka, akan wujudlah kehidupan yang mencampur adukkan antara Islam dan jahiliah. Pada hari ini, kita menerima Islam melalui adat dan warisan. Kita tidak menerima Islam melalui kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang betul. Tetapi kita seharusnya menerima Islam menerusi keyakinan kepada Allah SWT dan junjungan Muhammad SAW yang membawa agama ini.

Segala jenis ilmu yang digariskan di dalam Islam mestilah diketahui oleh para wanita, kerana bukan lelaki sahaja yang perlu melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut, malahan wanita merupakan sebahagian daripada pengeraknya. Setiap wanita yang hendak melaksanakan Islam, dirinya akan diukur dengan kemampuan ilmu yang ada pada dirinya. Sebagai contoh Saidatina Aisyah RA, beliau mengetahui satu persatu tentang realiti dan syara'. Apabila para sahabat bertanyakan kepadanya tentang hukum, beliau mampu memberikan fatwa. Sekiranya beliau hanya mengetahui syara’ sahaja tanpa realiti, fatwa yang dikeluarkannya tidak betul. Oleh itu amatlah perlu bagi seorang wanita Islam membaca suratkhabar, majalah islamik dan bahan bacaan yang seumpama dengannya. Semua ini sangat berguna dan berfaedah. la dipanggil thaqafah istibanah.

Thaqafah Istibanah terbahagi kepada dua bahagian iaitu SYARA' dan REALITI. Membaca merupakan ilmu untuk mengetahui tentang realiti. Kalau realiti tidak diketahui maka sukar untuk menghukum. Misalnya Asma binti Abu Bakar, beliau seorang yang faham tentang realiti. Manakala, Fatimah binti al-Khattab, seorang yang aktif dalam kegiatan Islam. Beliau bukan sahaja faham secara terperinci berkaitan realiti, malah siasah harakah yang baru diwujudkan oleh Rasulullah SAW juga difahaminya. Jika hendak dibandingkan dengan wanita hari ini dari segi kefahamannya, ternyata jauh bezanya.

>>Tanggungjawab terhadap rumahtangga dan keluarga.

Hendaklah rumahtangga itu diasaskan di atas dasar taqwa kepada Allah SWT sejak hari pertama lagi diwujudkan rumahtangga tersebut ataupun dalam usaha untuk mewujudkannya. Tidak boleh diwujudkan rumahtangga berasaskan adat, nafsu ataupun nilai-nilai masyarakat.

Tetapi hari ini adakah kita seumpama itu?? Hari ini ternyata rumahtangga itu ditegakkan di atas asas lain. Di atas asas keinginan untuk berumahtangga misalnya, bukan atas asas taqwa kepada Allah SWT. Rumahtangga seseorang Muslim hendakah dipenuhi dengan roh yang diredhai oleh Allah SWT. Hendaklah segala tindakan dan tuntutan sesebuah rumahtangga itu berada dalam batas syar’iah. Mestilah seimbang, tidak lebih dan tidak pula kurang. Pertimbangkan dengan cara yang cukup sederhana.

"Sebaik-baik urusan ialah kesederhanaan."

Saidina Osman misalnya, kudanya lebih baik dan lebih cantik daripada kuda Rasulullah SAW, rumahnya lebih baik dan lebih cantik, begitu juga hamparannya. Ini kerana kemampuan yang ada padanya, beliau mempergunakan nikmat Allah SWT berdasarkan kepada keimanan bukan berdasarkan hawa nafsu. Sekiranya kita melaksanakannya berdasarkan hawa nafsu, akan lahirlah sifat seperti menunjuk-nunjuk. Tetapi berbeza pula jika ia berdasarkan keimanan, sesuatu yang dilakukannya itu di dalam rangka mensyukuri nikmat Allah SWT.

>>Tanggungjawab terhadap masyarakat.

Sekiranya seorang wanita Islam itu tidak ada perhubungan dengan masyarakat atau berpisah daripada masyarakat, maka akan lahirlah masyarakat yang tidak mempunyai unsur-unsur Islam. Oleh itu, dalam hal ini kita mesti bersama-sama dengan masyarakat dalam melahirkan tindakan berpandukan ajaran Islam agar masyarakat itu lahir dengan amalan Islam. Justeru itu, kita perlu berjuang bersungguh-sungguh dalam menegakkan kebenaran Allah SWT dan tidak takut kepada ugutan dan gangguan dalam menegakkan kebenaran agama Allah SWT.

Bagi mereka yang mengaku hendak melakukan kebaikan kepada manusia, maka akan terbentang di hadapan mereka pelbagai bentuk ujian dan cabaran. Sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan, kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut:2-3)

Dalam memahami fikrah yang sebenar untuk menyampaikan Islam kepada orang lain, dan di samping bertindak melaksanakannya wanita itu mestilah bergiat di dalam gerakan Islam dengan bersungguh-sungguh, yang memerlukan perjuangan dan pengorbanan wanita yang sangat besar.

Walaupun begitu, wanita yang tidak ada thaqafah islamiah sangat ramai bilangannya. Hal ini amat memerlukan tenaga yang besar dari mereka yang sedar akan kepentingannya bagi menyampaikan ilmu yang betul dan tidak takut serta tidak gentar kepada ugutan, pandangan dan tindakan negatif orang lain. Hati yang dididik oleh iman, tidak takut dengan kekejaman manusia, tidak gelisah dengan sindiran manusia bahkan merasa cukup Allah SWT sebagai tempat mengadunya.

Lihatlah bagaimana hubungan terus dengan Allah SWT yang tercerna dalam diri para sahabat yang dididik oleh Rasulullah SAW dan lihatlah bagaimana tekad bulatnya penyerahan diri Zainab Al-Ghazali kepada Allah SWT, yang tidak putus hubungannya dengan Allah SWT, walaupun beliau di dalam keadaan genting sekali pun. Beliau meletakkan keyakinan bahawa Allah akan menolong mereka yang memperjuangkan ajaranNya, sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa dan Maha Berkuasa.

Oleh itu, setiap daripada kita yang bergelar wanita Islam hendaklah memperbaiki diri dengan mendidik hati sanubari kita yang mana ia menjadi perkara asas untuk memperbaiki keluarga serta masyarakat dengan Fikrah Islam.

"Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah ke atas kami ketenangan, dan tetapkanlah pendirian kami bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati kami dengan mengingati Mu, dan kurniakanlah akan kami keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai."

Risalah أيتها الفتيات (Bil : 2)
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

Wanita Islam - Perwatakan Yang Tersendiri


Di sana terdapat segolongan manusia yang berbeza daripada rakan-rakannya yang lain, tertonjol di dalam masyarakatnya, apabila ia bercakap semua yang ada diam mendengar, apabila mereka dilanda masalah mereka mencarinya, menunggu pendapat dan berpegang dengan pandangannya. Apabila dia tidak muncul mereka terasa kehilangannya. Golongan ini merupakan golongan pemikir, mereka mempunyai perwatakkan yang tersendiri. Mereka berfikir sebelum bercakap. Apabila berhadapan dengan sesuatu masalah, mereka akan mengkaji dan menelitinya daripada pelbagai sudut serta menggunakan pengalaman yang luas untuk mendapat natijah yang sahih dan tidak terkeluar daripada landasan yang betul.

Islam sebagai satu agama yang
agung, dengannya kita menjadi mulia, membina umatnya, samada lelaki ataupun perempuan di atas asas syakhsiah yang bebas dan berbeza daripada orang lain. Islam juga menolak sifat taklid, terikut-ikut dan tidak tetap pendirian. Oleh itu, ia mencela golongan musyrikin yang tidak mempunyai pendapat tersendiri terhadap sesuatu perkara. Pendapat dan fahaman mereka semata-mata mengikut apa yang ditinggalkan oleh bapa-bapa mereka walaupun bapa-bapa mereka tidak berakal dan tidak mendapat petunjuk. Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya:

"Janganlah salah seorang
daripada kamu tidak tetap pendirian, dia berkata aku bersama orang ramai, sekiranya mereka baik maka baiklah aku, sekiranya mereka buruk maka buruklah aku, dan tetapi kuatkanlah diri kamu, sekiranya orang ramai baik maka baiklah kamu, sekiranya mereka buruk maka kamu jauhilah keburukan mereka. "

Seseorang yang tidak tetap pendirian ialah orang yang bertindak tanpa berfikir dan tanpa keyakinan seolah-olah dia merupakan seorang di dalam kelompok yang tidak langsung memiliki dirinya. Ia berkelakuan dan bertindak mengikut keadaan orang ramai dan keadaan sekeliling, tanpa berusaha untuk berfikir ataupun bertanggungjawab terhadap keputusannya samada benar ataupun salah. Orang seperti ini tidak mampu untuk memikul tanggujawab dan bersama-sama didalam pembangunan, ataupun memainkan peranan di dalam perjuangan yang sebenar. Orang-orang seperti ini mungkin diterima oleh mereka yang hidup di atas perkara-perkara yang remeh–temeh, ataupun mereka yang hidup tanpa tujuan dan matlamat. Tetapi mereka yang terbentuk dengan pembentukan Islam samada lelaki ataupun wanita tidak sekali-kali menerima perwatakkan seperti ini.

Di dalam perjalanan umat Islam dan sejarahnya yang panjang, telah muncul beberapa wanita yang unggul, mempunyai perwatakkan yang tersendiri, seolah-olah ia merupakan bintang yang berkilauan di puncak sejarah. Ini adalah kerana ia dididik di madrasah tauhid, hidup di kalangan orang-orang yang beriman dengan sifat kepimpinan yang ada padanya. Ia mempunyai akhlak tinggi dan mulia yang sentiasa menjaga supaya ia melaksanakan peranannya di dalam pembinaan ummah.
Wanita-wanita Islam pada zaman dahulu, mereka telah menjelaskan pendapat dengan penuh tegas dan berani apabila di dalamnya terdapat kebaikan untuk masyarakat dan ummah ataupun untuk kepentingan kaum sejenisnya. Siapakah di antara kita yang tidak mengingati gadis berani yang datang berjumpa dengan Rasullullah s.a.w. memberitahu bahawa beliau menolak daripada berkahwin dengan anak bapa saudaranya kerana paksaan bapanya. Beliau kemudian kembali dan menerima anak bapa saudaranya sebagai suami selepas menguatkan konsep, tiada paksaan ke atas gadis di dalam masalah perkahwinan. Sehingga para bapa mengetahui bahawa mereka tidak berhak di dalam apa-apa urusan anak-anak perempuan mereka". Iaitu para bapa tidak berkuasa ataupun harus untuk memaksa anak-anak perempuan mereka berkahwin dengan orang-orang yang tidak mereka sukai.

Begitu juga dengan wanita masyhur, utusan para wanita yang datang
berjumpa dengan Rasullullah s.a.w meminta supaya para wanita dibenarkan berjihad selepas orang lelaki beroleh kejayaan dengan berjihad, bersolat Jumaat, menghadiri sembahyang berjemaah . Maka Rasullullah s.a.w. bersabda kepadanya dengan maksud:

"Layanan
wanita yang baik terhadap suaminya manyamai semua itu. "

Ini
bermaksud bahawa tanggungjawab yang dilaksanakan terhadap rumah dan suaminya mendapat ganjaran pahala yang sama dengan pahala yang diperolehi oleh lelaki. Kemudian inilah wanita yang berjumpa dengan Saidina Umar bin Al-Khattab di jalan dan berkata kepadanya:

"
Sesungguhnya kamu adalah Umair suatu ketika dahulu ketika kamu bersama kami, kemudian kamu menjadi Umar dan kemudian kamu menjadi Amirul Mukminin; takutlah kepada Allah wahai Umar; "

Begitu
juga wanita yang menentang pendapat Saidina Umar di masjid sewaktu Umar menegah mahar perkahwinan yang tinggi dengan berkata:

"Kamu
tidak berhak padanya wahai Umar."

Inilah sebahagian daripada tokoh-tokoh yang menonjol di dalam masyarakat Islam yang pertama. Buku-buku sejarah tidak menyebut nama-nama kebanyakkan mereka kerana contoh-contoh seperti ini adalah terlalu banyak dan biasa pada zaman mereka. Sejarah masih lagi menyimpan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku ke atas wanita Islam sepanjang sejarahnya yang memanjang selama lebih daripada empat belas kurun. Sesungguhnya wanita-wanita Islam ini mencari kebenaran, menuntut hakikat dan beriltizam dengan perkara yang betul. Selain daripada itu mereka juga berkorban, bahkan menemui kematian untuk menegak dan mempertahankan kebenaran. Dan ini semua dengan kehendak Allah akan terus berkekalan.

Sesungguhnya wanita-wanita Islam dituntut memberi perhatian kepada pemikiran dan pengetahuan agama serta beriltizam dengan tuntutan syara’ melebihi perhatian yang diberikan terhadap pakaian yang merupakan gambaran lahiriah dan membelanjakan untuk benda-benda yang tidak mendatangkan banyak faedah. Dia perlu memberi perhatian terhadap akhlak dan adab yang baik, perkataan yang manis dan suka kebaikan untuk manusia. Ia menyemai di dalam jiwanya ketinggian maruah dan kehormatan, menjauhi perkara yang remeh -temeh, menghindari perkara–perkara maksiat, jauh daripada perkara yang boleh membawa kepada perpecahan dan tidak memberi faedah, tidak mengaibkan orang lain, berbaik sangka dengan orang ramai, menunaikan tanggunjawab kemasyarakatan, membantu orang-orang yang teraniya dan berhajat serta membantu orang yang dizalimi.
Oleh itu, fenomena menonjolkan keindahan sederhana yang menimbulkan ketenangan di dalam jiwa serta menyebarkan kecantikan ataupun keindahan terlalu tinggi yang ada di dalam masyarakat merupakan salah satu gambaran daripada gambaran-gambaran masyarakat Islam yang tinggi. Wanita sentiasa suka kelihatan cantik dan kecantikan hati, ruh, akal, tindak tanduk dan kebijaksanaan merupakan kecantikan yang kekal dan berterusan. Justeru, perkara ini perlu mendapat tempat teratas di dalam senarai perkara-perkara penting yang perlu dilaksanakan dan didahulukan.

Sementara itu, gambaran zahir perlulah kelihatan sederhana yang melambangkan maruah dan istiqamah. Jadi tidak layak untuk wanita Islam menggunakan model ataupun fesyen yang datang daripada barat yang sesat. Wanita Islam perlu mencari sesuatu yang sesuai dengan akidah dan masyarakat yang berada di sekelilingnya. Selain daripada itu, dia juga perlu mendidik diri dan ahli keluarganya supaya mempunyai keperibadian yang unggul dan bebas daripada sebarang pengaruh, beristiqamah, menolak sikap suka mengikut dan tidak hanyut di bawa arus. Apabila wanita Islam menyedari perkara ini, maka suatu perubahan masyarakat kita akan menuju ke arah kemajuan selangkah demi selangkah.

Risalah أيتها الفتيات (Bil : 1)
Unit Dakwah & Pembangunan Insan
Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011