Kekalkan motivasi saya!


3 perkara membuat Anda hilang motivasi:

  1. Anda akan jadi kurang bersemangat apabila Anda menumpukan fikiran pada apa yang membuat Anda ‘down’.
  2. Anda akan hilang motivasi apabila Anda berhenti terlalu lama dari terus berusaha.
  3. Anda akan hilang semangat apabila Anda memfokus pada hasil usaha Anda yang salah.

Fokus pada konsistensi berusaha dan membetulkan kesalahan dengan mengambil tindakan baru.

Usah memfokus pada hasil sebaiknya fokus pada apa yang Anda perlu lakukan kerana hasil akan tetap ada apabila usahanya ngam kemudian berterusan pula.

Tanya dan terus tanya diri Anda apa lagi yang boleh Anda lakukan untuk berusaha, berusaha dan berusaha sehingga matlamat Anda benar-benar tercapai, bukan sekadar menjadi matlamat yang hanya bermain di minda.

P/s : Mencari mood yang hilang.... :(

4 Golongan dalam menilai MASA!

Demi Masa!

Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran.

Allah Maha Mengetahui keadaan dan nasib manusia kerana Dialah yang mencipta manusia itu. Dalam surah Al-Asr ini, Allah bersumpah bahawa semua manusia dalam kerugian kecuali 4 golongan iaitu:

1.mereka yang beriman
2.beramal soleh
3.menasihati atas kebenaran dan
4.menasihati atas kesabaran

Ini bermakna semua manusia tanpa mengira kedudukan sama ada kaya, miskin, berpelajaran tinggi, keturunan bangsawan atau peminta sedekah; kesemuanya Allah memberi amaran/ingatan tentang kerugian yang menimpa mereka.

Untuk mengelakkan dari kebinasaan dan kerugian ini, mereka diberikan 4 alternatif seperti yang disenaraikan di atas; iaitu beriman, beramal soleh, bercakap atas kebenaran dan juga atas kesabaran.

1. Manusia yang beriman ialah mereka yang mempunyai kesedaran tertinggi dan meyakini bahawa di sebalik alam yang luas ini, ada 'zat' yang MAHA BESAR dan MAHA KUASA yang mencipta dan mengendalikan keseluruhan alam ini. Begitu juga di sebalik alam nyata ini ada lagi alam kehidupan yang lebih besar dan indah iaitu kehidupan akhirat yang kekal dan abadi bagi setiap manusia. Sesiapa juga manusia tanpa mengira apa kedudukan sosio-ekonominya, akan terjerumus ke dalam api neraka yang amat panas sekiranya tidak mempunyai keimanan terhadap perkara-perkara ghaib ini.

Hidup di dunia ini adalah sementara. Kita akan berpindah ke alam barzakh (awal alam akhirat) tidak lama lagi iaitu selepas kita dimatikan. Yang dapat menyelamatkan kita di kubur ialah iman kepada Allah. Termasuk dalam ertikata iman ialah bukan setakat mempercayai Allah sahaja tetapi mesti dibuktikan dengan amalan. Jadi iman dan amal soleh ialah gandingan terbaik untuk menempuh dugaan di alam akhirat. Iman tanpa amal adalah ibarat pokok tanpa buah. Oleh itu kita dikehendaki melengkapkan diri dengan iman dan amal supaya hidup kita tidak sengsara sepanjang hayat tanpa batas waktu di akhirat.

2. Manusia kedua yang tidak akan rugi ialah mereka yang beramal soleh atau mengerjakan kebajikan. Orang yang meninggal dunia tanpa sebarang kerja kebajikan atau amal soleh akan rugi kerana mereka akan diseksa di dalam api neraka. Nasib kita di akhirat tidak sekali-kali bergantung kepada harta kekayaan, kedudukan pangkat atau pengetahuan tetapi sebaliknya ia dinilai dengan amal solehnya. Sungguhpun begitu ada juga orang yang rajin membuat amal kebajikan tetapi sayangnya tidak mempunyai keimanan terhadap Allah. Golongan seperti ini adalah rugi juga kerana tidak mempunyai asas aqidah terhadap Allah yang wajib ada dalam setiap individu. Kesemua amalan kita tidak akan diterima Allah jika tidak berpaksi kepada dasar keimanan kepada Allah.

Oleh sebab itu, kita seharusnya menggunakan masa hidup kita yang tidak lama ini untuk melakukan amal soleh sebanyak--banyaknya. Alangkah ruginya seseorang yang berbadan sihat, tegap,mempunyai hartabenda yang banyak tetapi seluruh kekuatan, kesihatan dan harta bendanya digunakan untuk kepentingan diri dan keluarganya sahaja. Lebih dahsyat lagi jika ia digunakan untuk melakukan maksiat, aniaya, fitnah dan menzalimi orang lain. Sepanjang hidup ini kita tidak lari dari melakukan 2 perkara sama ada amal soleh (baik) atau amal tholeh (jahat). Orang yang berjaya ialah mereka yang beramal soleh bukan beramal tholeh. Diri kita adalah sebaik-baik kompas untuk menilai yang soleh atau sebaliknya. Namun tidak semua orang dapat memberikan penilaian yang tepat, malah ada orang memandang kebajikan itu sebagai kejahatan dan kejahatan pula dipandang sebagai kebaikan. Kesemua ini memerlukan ilmu yang menjadi syarat untuk memberikan penilaian yang benar dan tepat berlandaskan syariat Islam.

Amal kebajikan boleh diusahakan dengan pelbagai cara sama ada dengan material atau menggunakan anggota badan. Menasihat kawan adalah kebajikan. Membuang duri di jalan juga satu kebajikan. Memberi makan kepada binatang juga kebajikan; apatah lagi memberi makan kepada fakir miskin. Pendek kata jika kita tahu caranya, semua aktiviti kita boleh dikategorikan kepada amal kebajikan.

Dengan melakukan amal kebajikan belum menjamin keselamatan seseorang selagi tidak meninggalkan kejahatan. Antara dua perkara iaitu membuat makruf (kabajikan) dan meninggalkan mungkar (kejahatan), yang kedua amat sukar dilakukan. Ramai orang mampu membuat kebaikan tetapi untuk meninggalkan kejahatan tidak semudah itu. Contohnya ramai wanita boleh bersolat 5 waktu tetapi tidak sanggup menutup aurat atau mengumpat. Ada ulama berpendapat sebelum mengerjakan kebajikan hendaklah terlebih dahulu meninggalkan maksiat dengan cara bertaubat nasuha.

Sungguhpun begitu dalam keadaan-keadaan tertentu, amal kebajikan yang kita buat dapat juga menghapuskan kejahatan-kejahatan. Namun yang lebih baik ialah sebelum melakukan kebajikan, perlulah membuang segala amal kejahatan terlebih dulu. Ini bermakna kita hendaklah mengosongkan diri kita dari segala maksiat sebelum melakukan kebajikan; sesuai dengan sunnah Nabi yang dibedah sebelum dibawa melakukan perjalanan Isra' dan Mikraj.


Umum mengetahui bahawa setiap pekerjaan kita sama ada yang besar atau kecil sentiasa dicatat atau direkod oleh malaikat yang dipertugaskan Allah supaya di akhirat nanti mereka akan dipertanggungjawabkan. Nyatalah kehidupan kita di dunia ini bukan sia-sia atau sembarangan. Kita mempunyai misi dan wawasan yang perlu dipenuhi di dunia ini sesuai dengan firman Allah:

Yang Bermaksud;

'Barangsiapa mengerjakan kebajikan walau sekecil zarah sekalipun akan dilihat (balasannya), dan barangsiapa mengerjakan kejahatan walau sekecil zarah sekalipun akan dilihat juga. (Ini bermakna walau sekecil manapun kebaikan atau kejahatan yang kita lakukan akan kita rasakan akibatnya nanti"

Oleh itu untuk keselamatan di alam yang abadi, saya menyeru diri saya sendiri dan saudara-saudara semua supaya melakukan kebajikan sebanyak mungkin dan pada masa yang sama meninggalkan segala kejahatan. Slogan 'menghalalkan segala cara' untuk kejayaan di dunia terutama dalam bidang keduniaan adalah semboyan syaitan dan iblis yang harus ditentang.

3. Golongan ketiga yang tidak rugi ialah mereka yang menggunakan masa hidupnya dengan menyampai atau menerangkan kebenaran/haq atau mereka yang membela/mempertahankan kebenaran contohnya agama Islam. Konsep kebenaran dalam Islam banyak jenis; kebenaran dalam tuturkata, kebenaran dalam tindakan, kebenaran dalam niat, kebenaran dalam pergaulan, kebeneran dalam politik, kebenaran dalam penghakiman dan sebagainya. Di antara banyak-banyak kebenaran, yang paling utama sekali ialah kebenaran yang berasal dari ALLAH yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Al-Quran iaitu Deen Islam.

Mengajar dan menyampaikan kebenaran wahyu Ilahi ini serta mempertahankan kebenarannya adalah misi tertinggi kemanusiaan. Golongan dai' ini hidupnya tidak akan rugi. Selain tugas dakwah dan menyampai kebenaran adalah sia-sia dan rugi semata-mata. Bertambah rugilah manusia yang cara hidupnya di muka bumi ini untuk tujuan bersenang-senang dengan makan-minum, mengumpul kekayaan dan beranak-pinak saja. Golongan ini tidak mempunyai nilai di sisi Allah.

Apa sebenarnya Haq itu? Haq itu adalah kebenaran yang datang dari Allah. Oleh sebab itu ia tidak boleh dipertikaikan. Firman Allah:

“Kebenaran itu adalah dari Tuahnmu. Oleh sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk dari golongan orang yang ragu. (Al-Baqarah: 147)”

Kebenaran apa jua bentuknya adalah dari Allah. Induk dari segala kebenaran ialah Kalimah Tauhid "Laa ilaaha illallah" yang membawa maksud tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dalam ertikata Allahlah yang Maha Besar yang mesti disembah. Segala yang lain adalah makhlukNya. Tauhid adalah haq manakala syirik pula adalah bathil. Begitu juga syurga adalah haq, neraka haq, azab kubur haq, malaikat haq, tiitian sirath juga haq. Begitulah seterusnya diqiaskan kepada perkara-perkara lain seperti membaca Al-Quran, membuat kebajikan dan lain-lain. Manakala apa jua yang buruk dan keji yang dilarang oleh Allah adalah bathil seperti mencuri, meninggalkan solat, membunuh, syirik dan sebagainya.
Akal yang sihat yang dapat bimbingan Ilahi mampu melihat kebenaran itu sebagai kebenaran dan kesalahan itu sebagai kesalahan.

Apabila telah mengetahui sesuatu itu sebagai kebenaran, maka mudahlah kita mengikutinya. Begitulah sebaliknya jika kita mengetahui sesuatu itu sebagai kejahatan, mudahlah bagi kita menjauhikannya. Kefahaman sebegini adalah pemberian Allah kepada hamba yang disayangiNya. Betapa ramai manusia yang tidak diberikan kurniaan ini, lantas mereka menganggap bahawa kebaikan itu sebagai kejahatan manakala kejahatan pula dipandang sebagai kebaikan. Orang begini telah dipetri hatinya dan tidak dapat membezakan lagi antara baik dan jahat. Bagaimana mungkin sebuah kompas yang jarumnya sudah tidak menunjuk arah yang betul dijadikan panduan untuk meneroka satu padang pasir yang amat luas? Semoga kita dijauhkan dari keadaan yang gelap ini dan berdoalah mudahan dapat kita melihat yang haq itu haq dan bathil itu sebagai bathil.


Setelah mata hati kita dapat menyuluh hakikat kebenaran sesuatu perkara, dapatlah kita menjadikannya sebagai panduan hidup. Yang baik kita jadikan teladan dan yang jahat kita jadikan sempadan; sehinggalah ia menjadi resam hidup yang sebati dengan diri kita; dan inilah yang harus dijadikan asas perjuangan untuk diri dan masyarakat.

Setelah mempraktikkan kebenaran itu dalam diri sendiri barulah mudah memperkatakan kebenaran kepada orang lain. Misalnya berkata benar - tidak berbohong, menipu atau memfitnah. Telinga pula benar dari segi tidak mendengar perkara yang haram dan dilarang. Mata pula tidak melihat sesuatu kecuali yang halal. Pendekkata semua anggota tidak melakukan sesuatu kecuali yang benar dan tidak bercanggah dengan kebenaran itu sendiri iaitu ISLAM. Penyebaran dakwah ini menjadi penting dan wajib atau fardhu 'ain dilakukan terutama dalam zaman kegawatan akidah dewasa ini. Tidak guna manusia yang asyik memperkatakan atau cuba menyelamatkan generasi ini dari kegawatan ekonomi saja tanpa sedikit pun memikirkan masalah yang Allah pandang besar iaitu kegawatan aqidah, moral dan agama. Adakah ekonomi akan menyelamatkan manusia terjun ke lembah hina di dunia dan terjun ke neraka di akhirat? Pendekatan 'ekonomi adalah segala-galanya' seolah-olah menafikan kebenaran Islam.

Setelah berhasil mencapai kebenaran dalam diri sendiri dan masyarakat amnya, barulah kejayaan itu diperkukuhkan atau dimantapkan secara istiqamah. Usaha ini perlu berterusan meskipun melalui duri dan ranjau yang cuba ditentang oleh puak yang memusuhi kebenaran iaitu Paksu (nafsu), Pak Leh (Iblis), Pak Wa (hawa) dan Pak Tan (syaitan). Di sini perlunya kesabaran - satu sifat yang perlu untuk menjadi golongan terakhir yang dinyatakan dalam Surah Al-'Asr iaitu pendokong kesabaran.

4. Mereka yang menyampaikan nasihat dengan kesabaran adalah golongan terakhir yang beruntung dan tidak akan rugi. Konsep sabar dalam Islam ada 3 jenis: pertama, sabar menanggung kesusahan dan sebarang bala yang menimpa diri, kedua, sabar mengerjakan ketaatan seperti sabar untuk mengerjakan sembahyang dan segala ibadat lain, dan ketiga ialah sabar diri dari melakukan sebarang maksiat. Jelasnya, sabar yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah sabar atau tetap hati di dalam memegang ajaran Allah yang benar itu; tanpa sedikit pun bergoyang oleh sebarang anasir yang datang. Di antara musuh yang cuba menggoyang atau merosakkan pendirian ini ialah syaitan, nafsu, hawa dan iblis. Mereka yang sabar ialah mereka yang berjaya melawan diri dari musuh-musuh ini untuk mencapai keredhaan Allah.

Dan kita kini di kategori yang mana ??

Madrasah Saidatina Aisyah kini kembali lagi....



Assalamu'alaikum W.R.T

Unit Pengetahuan dan Penyelidikan HEWI PMRAM 2010 buat julung kalinya akan mengadakan kelas pengajian Madrasah Saidatina Aisyah setiap hari isnin di Rumah Penang jam 6.30-9.00 pagi

Pengajian bermula pada 25 Oktober, antara yang menarik minggu ini ialah :

-Pengenalan Madrasah Saidatina Aisyah
-Diskusi Kitab : "Jailun Nasril Mansyud"
- Pertandingan Kuiz

Dialu alukan kepada mahasiswi pengajian islam dan perubatan untuk menimba ilmu dan menamh thaqafah.

Tarikh tutup penempahan dan pembelian kitab diskusi LE5 pada 22 Oktober, jangan lepaskan peluang ini.

Untuk penempahan dan pembelian kitab, sila hubungi :

Saudari Ummu Hani bt. Rijaluddin (0110587077)
Ketua Pendidikan Kedah


"Kesatuan Ukhuwah Manifestasi Tarbiyah"


Berani buat kesalahan..


Bila Anda buat silap Anda cenderung menyalahkan diri sendiri, Anda jadi tak suka dengan kesilapan yang Anda lakukan itu, bahkan Anda menjadi benci. Inilah sebab kenapa ramai di antara kita tak berani mencuba sesuatu yang baru, sebab tak mahu merasai peritnya buat silap.

Inilah juga sebab kenapa ramai di antara kita jadi benci dengan kegagalan. Anda takut gagal sebab Anda benci merasai keperitan, kesakitan dan kesusahan yang Anda akan rasai hasil dari kegagalan itu. Anda merasa terpukul. Motivasi Anda menurun.

Bagaimana mengatasi masalah ini? Ikuti dua langkah berikut:

1. Pandanglah diri Anda dan lihat pada potensi diri Anda, bukan pada kesilapan-kesilapan Anda.

Fokus kepada orang jenis macam mana yang Anda boleh jadi, fikirkan potensi Anda, kelebihan Anda, bakat Anda. Jangan selalu mengingat kesilapan lalu yang Anda telah lakukan kerana itu akan membuat Anda jadi tidak bermotivasi lagi.

2. Maafkan diri sendiri, lupakan kesilapan lalu, terus melangkah ke hadapan!

Anggap kesilapan sebagai cara untuk Anda belajar memperbaiki diri. Normal sebenarnya buat silap ni sebab kita takkan tahu buat benda baru, selagi kita tak buat dulu.

Anda takkan tahu cara yang betul, melainkan Anda jumpa cara yang salah terlebih dahulu. Maafkan diri Anda sebab buat silap, tekadlah untuk belajar dari kesilapan tu, kemudian cara bagaimana untuk buat perkara yang betul. Jadikan kesilapan sebagai rujukan untuk Anda mengetahui cara yang betul.

p/s : Semua manusia lumrahnya banyak belajar dari kesilapan lalu!

Jom terus MEMBACA...


Mahasiswa merupakan golongan yang akan memimpin dan menerajui kepimpinan sesebuah Negara pada zaman akan datang. Persedian yang perlu dan wajib dibuat adalah dengan pengetahuan melalui pengalaman dan pembacaan. Medium yang biasa di gunakan ialah melalui pembacaan menerusi laman web, surat khabar, majalah dan banyak lagi. Fokus kita adalah pembacaan melalui medium buku.Khususnya mahasiswa Al-Azhar, yang rata-rata hanya mengfokuskan budaya pembacaan pada kitab kuliah.Sedangkan kalau kita lihat, bumi ardil kinanah ini merupakan bumi yang pernah melahirkan ulamak2 yang tersohor di dunia pada suatu masa dahulu, yang di mana ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka sangat luas untuk di buat perbandingan dengan kelahiran mahasiswa masa kini yang hanya tertumpu pada kitab kuliah yang telah ditentukan silibus pembacaannya oleh doctor atau dotorah.Terlalu sikit manfaatnnya jika tidak di beri peluang kepada diri untuk membuka helaian pada buku2 atau kitab2yang lain.

Mengikut penghayatan kita mengenai sejarah buku bermula dalam kehidupan seorang manusia, apabila orang Mesir sendiri yang mencipta kertas papirus pada tahun sekitar 2400 S.M. Adapun kertas papirus yang ditulis tulisan ini digulungkan untuk menjadi “skrol” (scroll), dan diyakini merupakan bentuk buku yang paling awal.

Buku memasuki satu era yang baru apabila industri kertas menjadi mantap. Kertas dipercayai muncul di Negara Cina seawal-awalnya pada 200 S.M, selepas itu teknologi ini dibawa oleh pedagang Muslim ke Eropah sebelum abad ke-11. Dengan adanya kertas, penulisan menjadi lebih mudah kerana kertas mempunyai ciri-ciri mudah disimpan dan juga tahan lama.

Amalan membaca buku tambahan dikalangan para mahasiswa di universiti khususnya mahasiswa aktivis ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan para pelajar universiti di luar Negara lain seperti Jepun , orang Jepun sangat suka membaca. Bahan2 bacaan mereka terlalu banyak, dan sangat murah, berbanding dengan kita selaku mahasiswa Islam. Secara purata mahasiswa kita hanya membaca 12 buah buku selama tiga tahun pengajian. Dapat kita fahami bahawa mahasiswa sangat lemah dalam pembacaan. Dalam tiga tahun tempoh pengajian puratanya 4 buah buku setahun. Perkara ini dilihat amat memalukan kerana mahasiswa aktivis di kategorikan sebagai generasi atau golongan intelek yang berpengetahuan luas di mata masyarakat.

Budaya suka membaca di Jepun ini pula, sudah ditanam ke dalam diri anak-anak kecil mereka seawal mereka boleh membaca di peringkat ‘Hoiku-en’ atau ‘Yochi-en’ lagi. Pra-sekolahlah tu. Mereka dibekalkan dengan buku2 cerita, tiap satunya akan ada sekeping muka surat khas di belakang buku, yang dipenuhi gambar yang berulang. Sekali anak itu selesai membaca satu buku, mereka disuruh mewarna satu gambar tadi. Maka berlumbalah anak2 ini membaca sebanyak kali mungkin, sekerap yang boleh, supaya selesai seluruh gambar itu diwarnakan, lalu mereka beralih ke buku yang lain pula.

Sebagai orang Mahasiswa Islam, kita seharusnya peka dengan kekurangan ini. Kerana Islam menggalakkan mencari ilmu, dan mewujudkan budaya membaca. Wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah: “Bacalah…”.Jika kita melihat dalam konteks Sejarah kehidupan sarjana awal Islam suatu masa dahulu, pendedahan mereka adalah tertumpu kepada masyarakat yang banyak membaca.

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (wafat: 852H) ketika berada di Syam dalam ekspedisi ilmunya, mampu membaca kitab hadis ‘Mukjam Saghir’ karya Imam Tabarani dalam masa beberapa jam, antara waktu Zohor dan Asar. Kitab tersebut mengandungi lebih seribu hadis.

Fairuz Abadi (wafat: 817H) dalam pengembaraan ilmunya ke Damsyiq pernah menghabiskan bacaan kitab Sahih Muslim dalam masa tiga hari sahaja. Hadis-hadis dalam Sahih Muslim mencapai angka 7,000 hadis.

Imam Syafie (wafat: 204H) dikatakan apabila beliau membaca satu-satu kitab, ketika membaca muka surat sebelah kanan, beliau akan menutup muka surat sebelah kiri dengan tangannya. Apabila membaca muka surat sebelah kiri, beliau menutup muka surat sebelah kanan dengan tangannya. Tujuannya untuk menghadkan penglihatan matanya supaya tidak terlalu cepat membaca.

Jadi,seharusnya kita yang selalu di gembar gemburkan sebagai mahasiswa aktivis islam seharusnya lebih peka mengenai budaya membaca.Bagaimana untuk membuat satu perubahan kepada masyarakat jika kita tidak ada ilmu pengetahuan yang luas mengenai kondisi sesebuah masyarakat.Dan pengalaman yang di timba seharusnya di ambil bagi melengkapkan package kita selaku perubah masyarakat.Antara 2 elemen penting yang harus ada iaitu Pengalaman dan Pembacaan. Kempen Membaca yang telah di anjurkan oleh PMRAM pada bulan September yang lepas seharusnya di teruskan secara tidak langsung, bagi mahasiswa yang merasakan kepentingan dalam membudayakan pembacaan.

Belajar mengambil manfaat dalam setiap pembacaan kita.Pastikan kamus sentiasa berada di sisi jika membaca buku dalam bahasa arab.Tidak susah untuk mempraktikkan jika timbul keinginan yang tinggi untuk melakukannya.

P/S : Membaca juga boleh memupuk budaya berfikir secara kreatif dalam melontarkan idea dan pandangan. :)

Fikrah yang jelas bakal membentuk jatidiri mahasiswa - Presiden PMRAM

Sumber : www.pmram.org

MANSURAH 18 Oktober - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime menegaskan bahawa PMRAM merupakan sebuah gerakan mahasiswa yang menjalankan aktiviti dan program berdasarkan garis panduan syarak.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli PMRAM sama ada di Kaherah mahupun di setiap cawangan untuk bersama-sama membantu agenda pembawakan PMRAM pada sesi ini.

Beliau menyatakan bahawa, fikrah yang jelas bakal membentuk jatidiri dan integriti sebagai seorang mahasiswa Islam. Sebab itulah antara fokus pembawakan PMRAM pada sesi ini adalah "Mengembalikan Identiti Akhlak Islamiyah".

Katanya, sikap menjaga hak dan maruah sebagai seorang mahasiswa Islam merupakan identiti akhlak islamiyah yang perlu dikembalikan dalam jiwa umat islam. Mahasiswa Islam bukanlah orang yang mudah dipermainkan dan diperbodohkan.

"Islam mengajar kita untuk menjaga hak dan maruah. Orang yang membiarkan hak dan maruahnya dicabuli adalah orang yang dayus. Mereka ini dikeji oleh syarak. Sebab itulah PMRAM serius membentuk fikrah yang sebenar dalam jiwa mahasiswa Islam". Ujar beliau ketika menyampaikan amanat emas.

Seramai hampir 70 mahasiswa dan mahasiswi yang hadir ketika ramah mesra bersama Badan Pengurus dan HEWI PMRAM di Dewan Zajlatul Abidah, Mansurah.

Justeru, tambahnya PMRAM mempunyai wawasan yang panjang dan jauh. Bukan hanya sekadar di Mesir sahaja bahkan kesinambungan PMRAM di Malaysia adalah Islam.

Ini, katanya kerana agenda pembawakan PMRAM adalah bagi mencari redho Allah SWT.

"Segala aktiviti dan program yang PMRAM anjurkan adalah bagi menampakkan wajah Islam yang sebenar. Justeru, kita akan memahami kehendak syarak dengan kita melibatkan diri pada aktiviti persatuan" tegas beliau dalam ucapan penutup.

Ramah mesra yang diadakan di Mansurah itu berakhir pada jam 3.50 petang.

Kekurangannya MELENGKAPI...


"Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan, menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi."

"Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?"

"Staff aku si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu."

"Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat, dah jump to conclusion."

"Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok*? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah."

"Jangan cakap macam tu, Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu."

"Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak, Naim?"

"Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang "disadvantaged" atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik."

"Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap "golongan yang tak berguna" kepada "sayap kiri" kepada masyarakat. Beliau ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan."

"Tapi, memang orang perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak layan dia."

"Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara `protes` tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. "Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih`bengkok` daripada mereka!"

"Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje."

"Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu."

"Apa maksud sebenar Hadis tu?"

"Orang perempun yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu "penyempurnaan" . Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat `pelindung`. Ia melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu."

"Oh begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?"

"Begitulah. Selain itu, maksud `tulang rusuk yang bengkok` itu ialah sifat `rahmah`. Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan. "

"Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat "bengkok" ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat."

"Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar."

"Hmm, betul tu Naim."

"Sebenarnya tiada siapa yang `bengkok` mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya."

"Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah-marah dan tidak sabar."

"Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih `bengkok` daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih `bengkok` daripada semua orang lain di muka bumi ini... "

*Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)

http://seutastasbih.blogspot.com/2010/09/bengkoknya-wanita.html

“5S” Memacu Pentadbiran Sesebuah Organisasi

Sistem 5S merupakan satu sistem yang menggunakan alat peningkatan produktiviti yang diperkenalkan di Jepun oleh Dr. Thuchiya Bermula pada tahun 1986 bila mana pertama kalinya 5S telah diperkenalkan di Singapura.

Dan seharusnya sesebuah organisasi atau badan persatuan mempraktikkan sistem ini.Kemahiran pengurusan merupakan asas pengetahuan yang perlu bagi membolehkan fungsi sesebuah organisasi dapat di laksanakan dengan berkesan.Sebagai seorang penggerak yang akan memacu sebuah pentadbiran haruslah melaksanakan elemen-elemen pengurusan yang berkesan seperti perancangan, pengorganisasian, dorongan, pengawalan, penyelarasan dan teknik membuat satu pokok keputusan.

Antara salah satu tanggungjawab penggerak yang akan memacu sebuah pentadbiran ialah dengan mewujudkan pengurusan kepejabatan yang berkesan dengan menyusun program dengan teratur dan kemas kini.

Sistem 5S yang terkenal di Jepun ini juga merupakan salah satu teknik pendekatan berkesan yang telah di laksanakan di sana, dalam memotivasikan pekerja, meningkatkan produktiviti dan persekitaran tempat kerja.Dan ianya juga merupakan satu metodologi/ pendekatan bersistematik amalan penjagaan kebersihan tempat kerja dengan menyusun, membersih, membangunkan dan mengekalkan persekitaran kerja yang produktif Berdasarkan prinsip “ TEMPAT UNTUK SEMUA DAN SEMUANYA DI PADA TEMPATNYA” Amalan 5S adalah program menyeluruh yang melibatkan semua dalam organisasi.

Antara sebab harus mempraktikkan system yang popular ini ialah :

  • Untuk menghasilan tempat kerja yang bersih dan lebih tersusun
  • Dan hasilnya nyata kepada semua – orang luar pejabat dan orang dalampejabat
  • Hasilnya nyata dengan dapat meningkatkan lebih banyak idea baru
  • Semua orang akan lebih berdisiplin
  • Operasi di pejabat lebih senang dan selamat
  • Menjadi kebanggaan semua orang kerana tempat kerja yang bersih dan tersusun
  • Meningkatkan imej sesebuah organisasi


Istilah 5S ialah antaranya :

Bahasa Jepun

Bahasa Inggeris

Bahasa Melayu

Makna

SEIRI

SORT

SISIH

ORGANIZATION

SEITON

SET IN ORDER

SUSUN

NEATNESS

SEISHO

SHINE

SAPU

CLEANING

SEIKETSU

STANDARDIZE

SERAGAM

STANDARDIZE

SHITSUKE

SUSTAIN

SENTIASA

DICIPLNE

Hasil amalan 5S yang telah di laksanakan di Jepun mampu melahirkan pekerja yang berdisiplin.Antara faktor kejayaan mereka ialah,mereka dapat mengekalkan sokongan dan komitmen yang berterusan antara mereka,kerana amalan 5S bermula dengan pendidikan dan latihan.Dan hasilnya semua orang dapat mengamalkannya dan tiada yang memerhati sahaja.

Melalui hasil kajian pembacaan saya,rakyat Jepun merupakan antara golongn yang sangat berdisiplin, tekun dan gigih dalam melakukan apa saja pekerjaan.Di samping mereka sentiasa menepati masa. Bagi mereka, orang yang tidak menepati masa adalah mereka yang tidak bersungguh-sungguh.Kerana,seorang penggerak yang akan menentukan masa depan pentadbiran sesebuah organisasi haruslah mempunyai konsep pengurusan masa yang berkesan.Kerana apa yang saya lihat,setiap orang yang berada dalam sesebuah organisasi masih tidak mampu untuk melaksanakan pengurusan pentadbiran yang berkesan.Kejayaan pengurusan sesebuah organisasi akan melibatkan penetapan keutamaan yang tegas dan disiplin diri yang tinggi…

p/s ~ Saya tujukan khusus kepada semua Jabatan Setiausaha PMRAM Cawangan BKAN & DPM..Jom Praktik!! :)